Daftar di PPV kesihatan swasta

KUALA LUMPUR 19 Nov. – Bagi mengelak kekeliruan, individu yang layak menerima suntikan dos penggalak Covid-19 disaran untuk mendaftar nama dalam senarai menunggu di satu pusat pemberian vaksin (PPV) fasiliti kesihatan swasta sahaja.

ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth), syarikat di bawah Kementerian Kesihatan memaklumkan pendaftaran untuk senarai menunggu di PPV fasiliti kesihatan swasta di bawahnya adalah percuma.

Selain secara walk-in, pendaftaran sebagai senarai menunggu di PPV juga boleh dilakukan melalui telefon dan e-mel mengikut senarai PPV yang tersedia menerusi laman web ProtectHealth di pautan www.protecthealth.com.my, mulai 22 November.

Menurut satu kenyataan, senarai PPV akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan pendekatan ini akan memudahkan dan menggalakkan individu yang layak menerima dos penggalak lebih awal tanpa perlu menunggu lebih lama.

Ia juga dapat membantu kerajaan memastikan vaksin termasuk vaksin penggalak Corminaty (Pfizer-BioNTech) tidak dibazirkan dan dapat digunakan secara optimum.

Individu yang berjaya mendaftar akan dimasukkan ke dalam senarai menunggu terlebih dahulu dan akan dihubungi oleh pengamal perubatan swasta terbabit sekiranya ada pembatalan janji temu atau ‘no show’ oleh mereka yang telah menerima janji temu menerusi MySejahtera.

Pendaftaran senarai menunggu ini dilaksanakan bagi individu yang belum menerima janji temu dan layak pemberian dos penggalak antaranya petugas barisan hadapan, individu berusia 40 tahun dan ke atas, individu berusia 18 tahun dan ke atas dengan komorbiditi dan keperluan untuk ke luar negara.

Selain itu, individu (termasuk remaja berusia 12 hingga 17 tahun) yang masih belum menerima suntikan dos pertama atau kedua vaksin Covid-19 dan individu yang terlepas janji temu vaksin juga layak mendaftar untuk senarai menunggu ini.

Related posts

Leave a Comment