Individu PUS, PUI boleh mengundi

PUTRAJAYA 19 Nov. – Tiada halangan bagi pengundi berstatus individu dalam pemantauan (PUS) atau individu dalam siasatan (PUI) mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok.

Agensi atau parti politik boleh menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada pengundi PUS atau  PUI ke tempat mengundi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pengundi yang layak dan dikenakan pemantauan di rumah (HSO) perlu mengemukakan permohonan kepada pejabat kesihatan daerah (PKD) bagi tujuan penilaian risiko, sebelum dibenarkan ke pusat mengundi.

Jelasnya, proses mendapat kebenaran boleh dilakukan dengan mengisi borang permohonan keluar mengundi melalui capaian Google Form yang diedarkan.

“Hanya individu menjalani penilaian risiko dan diberi kebenaran PKD saja dibenarkan keluar ke tempat mengundi,” katanya menerusi paparan infografik hari ini.

Info grafik itu antara lain menggariskan perincian mengenai tiga aspek berkaitan dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada pengundi, sekiranya mereka dikategorikan sebagai PUS atau PUI.

Pemandu mestilah lengkap divaksin dan tidak bergejala, menyediakan kod imbasan pantas (QR) MySejahtera di dalam kenderaan, memakai pelitup muka dua lapis serta mengenakan penghadang muka.

Sarung tangan perlu digunakan oleh pemandu, selain mengambil suhu penumpang dan dibenarkan naik kenderaan jika bacaan adalah kurang daripada 37.5 Celsius.

Bagi memastikan kenderaan bebas risiko jangkitan, pemandu perlu melakukan proses nyah kuman setiap perjalanan, manakala makan atau minum dalam kenderaan tidak dibenarkan.

Perjalanan hanya ke pusat pembuangan undi dan kembali ke rumah, tiada persinggahan di mana-mana lokasi lain.

Hanya seorang dibenarkan dibawa pada satu-satu masa sekiranya menggunakan kereta jenis sedan.

Bagaimanapun, pengecualian untuk membenarkan dua orang diberikan jika PUS atau PUI adalah daripada satu keluarga.

Sekiranya menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) satu tempat duduk, hanya empat PUS atau PUI dari rumah sama dibenarkan menaiki kenderaan sama.

PUI dan PUS juga hanya dibenarkan berada di tempat duduk belakang. Sekiranya seorang, duduk di belakang, bertentangan dengan pemandu.

Tingkap kereta hendaklah dibuka dan pendingin hawa tidak dibenarkan dibuka manakala penggunaan bas dilarang.

Related posts

Leave a Comment