Trend penurunan minggu epidemik ke-41

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Laporan kes harian, jumlah kematian, kapasiti penggunaan katil dan unit rawatan rapi (ICU) pesakit Covid-19 terus menunjukkan trend penurunan pada minggu epidemik (ME) ke-41.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sepanjang tempoh ME ke-41 iaitu 10 sehingga 16 Oktober itu juga, nilai kebolehjangkitan wabak atau RT  kekal stabil sekitar 0.80 – 0.90.

Beliau berkata perkembangan baik itu sejajar dengan peningkatan liputan vaksinasi Covid-19  di samping usaha pembukaan semula pelbagai sektor secara terancang melalui inisiatif pembukaan semula secara selamat yang lebih meyakinkan.

Dalam tempoh itu, kes baharu Covid-19 menunjukkan penurunan 17.9 peratus iaitu daripada 63,722 kes (ME ke-40) kepada 52,321 kes (ME ke-41).

Kes baharu bagi negeri Selangor, Negeri Sembilan, Putrajaya dan Kuala Lumpur pula mulai menunjukkan trend mendatar.

Purata kes aktif turun 21 peratus iaitu daripada 133,450 kes (ME ke-40) kepada 105,497 kes (ME ke-41), manakala kes kematian turun sebanyak 15.3 peratus iaitu daripada 700 kes (ME ke-40) kepada 593 kes (ME ke-41).

Kes yang memerlukan rawatan di ICU turut menunjukkan penurunan 12 peratus iaitu 778 kes (ME ke-40) kepada 684 kes (ME ke-41), sementara kes yang memerlukan bantuan pernafasan turun 11.9 peratus iaitu 331 kes (ME ke-40) kepada 292 kes (ME ke-41).

Dalam satu kenyataan mengenai perkembangan wabak itu, hari ini, beliau berkata, turut menunjukkan penurunan bagi tempoh sama ialah jumlah kluster Covid-19.

Katanya,  83 kluster dilapor melibatkan 37 atau 44.6 peratus kluster tempat kerja; 25 (30.1 peratus) kluster komuniti; 10 (12.1 peratus) kluster pusat pendidikan; sembilan (10.8 peratus) kluster kumpulan berisiko tinggi dan hanya satu (1.2 peratus) kluster pusat tahanan.

Mengenai kapasiti penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan wad serta alat bantuan pernafasan menunjukkan trend penurunan sekitar satu hingga tiga peratus pada ME ke-41 berbanding ME ke-40.

Related posts

Leave a Comment