MELAKA 7 Sept. – Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh memberi bayangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan menjelang akhir bulan ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN).
Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Melaka itu berkata pembubaran DUN akan dibuat dalam tempoh `dua kali Jumaat’ lagi.
“Tak lama lagi (akan bubar). Saya kata hari itu empat kali Jumaat lagi, (tetapi kini) dah tinggal dua kali Jumaat saja,” katanya ketika berucap pada majlis minum pagi dan sesi ramah mesra bersama penduduk Kampung Bertam Ulu, di sini hari ini.
Turut hadir, EXCO Kanan Negeri yang juga Penyelaras Pembangunan DUN Sungai Udang, Rais Yasin.
Semalam, Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Ab Rauf mempercepatkan pengumuman pembubaran DUN Melaka bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau dilaporkan berkata, pengumuman berkenaan tidak seharusnya ditangguhkan terlalu lama kerana rakyat, khususnya golongan muda perlu diberikan ruang untuk menentukan hala tuju dan masa depan negeri berkenaan.
Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri turut mengesahkan ada rundingan bersama beberapa gabungan parti untuk menjalinkan persefahaman politik pada PRU DN kelak, namun masih berkira-kira untuk membuat keputusan yang sudah pasti memberi kelebihan kepada BN.
“Melaka ini ibarat anak dara cantik, ramai nak masuk meminang. Saya jadi bapa susah nak tunggu (buat keputusan kerana) semua orang datang tanya bila (nak bersama), baik (bersama) dengan saya (gabungan parti), baik (bergabung) dengan saya… tidak.
“Demi perjuangan, saya tidak akan buat keputusan atas sifat kawan, (sebaliknya) saya akan membuat keputusan atas sifat politik demi perjuangan membela dan membina semula parti kita yang sudah pun dipijak dan dihina selama ini,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kepentingan rakyat Melaka sentiasa menjadi keutamaan dalam pentadbirannya, malah denyut nadi rakyat akan terus menjadi asas kepada setiap keputusan dan tindakan yang diambil.
Katanya, amanah diberikan rakyat bukan untuk dikejar dengan keselesaan, sebaliknya perlu dilaksanakan dengan turun padang, mendengar sendiri permasalahan rakyat dan bersama-sama mereka menghadapi cabaran.
“Kita bersama bangkit semula, kita diberikan mandat untuk menguruskan rakyat dan saya uruskan rakyat dengan baik. Saya boleh sahaja duduk bermewah-mewah, saya boleh tidur dan bangun tengah hari, saya tak perlu jumpa rakyat. Tetapi tidak, demi rakyat untuk rakyat, biar saya panas dan basah bersama rakyat dan demi rakyat Melaka, saya perjuangkan segalanya.
“Tidak lama lagi hari jadi kita semua (hari mengundi), hari jadi untuk kita tentukan siapa yang kita nak wakilkan untuk membela kita. Jangan fikir panjang dan jangan fikir pendek, kita fikir satu sahaja iaitu kita `geng’ biru,” katanya.
NNNNN
