41 penerbangan ke Jakarta batal

PUTRAJAYA 7 Sept. – Sebanyak 41 penerbangan ke Jakarta di lapangan terbang seluruh negara dibatalkan hari ini, susulan penutupan sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta (CGK) berikutan abu gunung berapi akibat letusan.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memaklumkan, pembatalan membabitkan penerbangan yang dijadualkan antara pukul 6.45 pagi hingga 11.55 malam ini.

Jumlah pembatalan tertinggi direkodkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dengan 30 penerbangan, iaitu 20 di Terminal 1 dan 10 di Terminal 2.

Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang merekodkan tujuh pembatalan, diikuti Lapangan Terbang Subang dua pembatalan, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu masing-masing satu pembatalan.

Tiada pembatalan direkodkan di Lapangan Terbang Kota Bharu.

Pembatalan itu susulan penutupan sementara CGK selepas abu gunung berapi daripada letusan Anak Krakatau menjejaskan operasi penerbangan.

Sementara itu, di JAKARTA, lapan lapangan terbang di Indonesia masih ditutup pada awal pagi Isnin ekoran abu gunung berapi daripada letusan Gunung Anak Krakatau, menurut Kementerian Pengangkutan negara itu.

Abu daripada Anak Krakatau, yang terletak di pertengahan antara Pulau Jawa dan Sumatera, sudah menyelubungi Jakarta dan beberapa kawasan sekitarnya sejak ia meletus lewat pada Jumaat, mengakibatkan lapangan terbang ditutup atas faktor keselamatan.

Menteri Pengangkutan, Dudy Purwagandhi dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 170,000 penumpang terjejas akibat pembatalan penerbangan.

“Kami tidak dapat memastikan bila keadaan ini akan berakhir ekoran cuaca yang dinamik,” katanya  pada Isnin.

Related posts

Leave a Comment