KUALA LUMPUR 7 Sept . – Menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) mulai Rabu ini, dua program keilmuwan Pra-PAU akan dilangsungkan esok di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).
Setiausaha Agung UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, program itu terbuka kepada orang awam iaitu Program Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia 2.0 dan Konvensyen Pendidikan Melayu 2026. Kedua-dua program bermula pukul 8 pagi.
“Saya menjemput seluruh keluarga besar UMNO dan juga orang ramai untuk hadir bersama-sama ke dua program utama yang menjadi wadah penting untuk percambahan ilmu, pandangan dan gagasan dalam memperkukuh agenda agama, pendidikan serta masa depan anak bangsa,” katanya menerusi Facebook.
Bagi Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia, tiga panelis undangan adalah Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Melaka Abdul Halim Tawil dan Pengasas Pondok Rumi Sufi Jawi Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli.
Ucaptama pula akan disampaikan oleh Dr Asyraf Wajdi manakala majlis penutup oleh Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sementara pada Konvensyen Pendidikan pula, Menteri Pendidikan Tinggi, Dr Zambry Abd Kadir akan menyampaikan ucapan Hala Tuju Konvensyen disusuli dengan tiga sesi yang melibatkan mereka yang berkaitan dengan pendidikan.
Sesi pertama bertajuk Cabaran Mutakhir Pendidikan Anak Bangsa: Kumpulan B-40 dan M-40; sesi kedua. Universiti Teknologi Mara (UiTM): Menerus Agenda Anak Bangsa dan ketiga AUKU dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi Negara.
Nnnn
