Kenapa PH melatah, buat laporan polis

SEPANG 7 Sept – “Kenapa tiba-tiba Pakatan Harapan (PH) melatah?,” demikian persoalan yang ditimbulkan Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari selepas kalangan pemimpin PH membuat laporan polis terhadap  Abdul Hadi Awang.

Laporan polis dibuat selepas Abdul Hadi mendakwa ada usaha Amerika Syarikat (AS) untuk campur tangan menjatuhkan kerajaan Malaysia sebelum 2018.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Ahmad Fadhli berkata, pihaknya hairan dengan reaksi itu kerana Pas tidak pernah mengaitkan PH dalam isu terbabit.

Katanya, perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana pertikaian kedua-dua pihak boleh diselesaikan melalui kaedah undang-undang.

“Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia menafikan perkara ini. Ada kaedah undang-undang untuk selesaikan pertikaian antara dua pihak terbabit iaitu saman sivil.

Apa yang menghairankan kenapa tiba-tiba PH melatah? Apa kepentingan mereka dalam isu ini? Kenapa tiba-tiba melatah dan buat laporan polis? Adakah Presiden Pas mengaitkan mana-mana pihak dari PH dalam isu ini? Tidak sekali-kali.

Jadi, kenapa mereka melatah? atau mereka sebenarnya yang ada kaitan?” katanya.

Terdahulu media melaporkan, Setiausaha DAP Kuala Lumpur, Lim Lip Eng menggesa Abdul Hadi mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan AS pernah menawarkan bantuan kepada parti itu untuk menjatuhkan kerajaan pada 2014.

Beliau dilaporkan berkata, tuduhan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu disifatkan berat, selain tidak dapat dibuktikan hanya dengan tepukan di Muktamar Pas.

Dalam pada itu beliau juga mempersoalkan sama ada Naib Presiden Pas, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan ada memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa di negara ini.

Lip Eng turut menggesa polis mendapatkan keterangan ketiga-tiga pemimpin Pas itu dan mengenal pasti wakil AS yang didakwa menawarkan bantuan terbabit.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan Abdul Hadi bahawa wakil Kedutaan AS pernah menawarkan bantuan kepada beliau dalam usaha menjatuhkan kerajaan.

Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kenyataan Presiden Pas itu amat serius kerana menyentuh cubaan pakatan melibatkan kuasa asing untuk meruntuhkan kerajaan.

“Kenyataan itu ialah kenyataan yang serius… seolah-olah ada percubaan pakatan di antara kuasa luar dan juga entiti tempatan untuk meruntuhkan sistem demokrasi berparlimen… ini adalah sesuatu yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi, apabila penafian telah dibuat oleh Kedutaan AS maka kita mahu pihak berkuasa mulakan siasatan dan lihat semula apakah dakwaan yang dibangkitkan itu benar atau sebaliknya… kalau benar, harus ada tindakan tegas serta-merta,” katanya.

Ketua Wanita PH, Datuk Aiman Athirah Sabu pula berkata, dakwaan sedemikian amat serius dan sekiranya benar, ia sepatutnya dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Jika benar wujud cubaan campur tangan asing untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia, ia bukan bahan untuk dibanggakan di pentas politik.

“Ia adalah perkara yang sepatutnya dilaporkan kepada pihak berkuasa kerana menyentuh keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Kedutaan AS di Kuala Lumpur menafikan dakwaan campur tangan bagi menentukan kepemimpinan politik Malaysia, sambil menyifatkan sebarang tuduhan sebaliknya sebagai palsu.

Nnn

Related posts

Leave a Comment