Zahid mohon dilepas, dibebaskan

KUALA LUMPUR 3 Feb. – Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon untuk dilepas dan dibebaskan daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.

Permohonan difailkan di Mahkamah Tinggi 28 Januari lalu dengan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden, atas alasan utama iaitu Peguam Negara pada 8 Januari lalu, memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan berkenaan.

Peguam bela Ahmad Zahid,  Hisyam Teh Poh Teik, ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes itu di Mahkamah Tinggi hari ini, berkata ia berikutan sudah lebih dua tahun anak guamnya dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi.

“Jadi tak adil untuk seseorang itu, jika pertuduhan sentiasa tergantung atas kepala beliau. Beliau perlu mencari kebenaran,” katanya.

Hisyam berkata, permohonan itu yang turut disertakan dengan sijil perakuan segera untuk didengar, diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 30 Januari lalu dan Hakim Nurulhuda Nur’Ain Mohamad Nor menetapkan pada 24 Februari ini untuk pendengaran.

Sementara itu Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II Datuk Badius Zaman Ahmad ketika ditemui turut mengesahkan perkara berkenaan.

“Pihak kami menerima permohonan pada 30 Januari lalu dan mahkamah mengarahkan pihak kami memfailkan afidavit jawapan pada 13 Februari ini,” katanya.

Nurulhuda Nur’Ain sepatutnya mendengar permohonan itu hari ini, bagaimanapun Badius Zaman memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya memohon pendengaran ditangguhkan kerana baru diserahkan permohonan terbabit pada Jumaat lalu.

Hakim kemudian membenarkan prosiding ditangguhkan dan mengarahkan Pendakwa Raya memfailkan afidavit jawapan pada 13 Februari ini.

Pejabat Peguam Negara dalam satu kenyataan pada 8 Januari, memaklumkan tiada tindakan lanjut terhadap 47 tuduhan yang dihadapi Ahmad Zahid, selepas meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baharu.

Menurutnya, ia selaras kuasa dan budi bicara Peguam Negara bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan.

Pada 12 Januari lalu, Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar menegaskan keputusan mengklasifikasikan kes sebagai NFA hanya selepas pihak pendakwaan mengkaji dengan teliti enam representasi yang dikemukakan oleh Presiden UMNO itu.

Mohd Dusuki berkata, keputusan oleh AGC itu tidak dibuat secara ‘suka-suka’ dan jabatan itu tidak akan memberikan ‘NFA tanpa penilaian menyeluruh terhadap fakta, bukti dan merit undang-undang sesuatu kes.

Hakim Collin Lawrence Sequerah pada 4 September 2023 memutuskan DNAA terhadap Ahmad Zahid daripada semua 47 tuduhan selepas membenarkan permohonan Mohd Dusuki yang ketika itu Timbalan Pendakwa Raya.

Mohd Dusuki berkata, pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding, kerana berhasrat menyiasat kes berkenaan dengan lebih mendalam.

Related posts

Leave a Comment