173 kes baharu Brunei Darussalam

BERAKAS 19 Okt. – Brunei Darussalam merekodkan 173 kes baharu hari ini menjadikan jumlahkeseluruhan meningkat kepada 11,220 orang, kata Menteri Kesihatan, Dr. Md. Isham Jaafar.

Katanya, terdapat 83 tambahan kes baharu melibatkan 13 kluster aktif yang sedia ada yang merupakan kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya manakala 69 kes masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Turut dilaporkan dua kes import yang tiba ke Negara Brunei Darussalam dari Manila dengan menaiki Penerbangan Diraja Brunei Bl684 pada 13 Oktober 2021.

Menurut beliau, terdapat dua kluster baharu dikesan yang melibatkan 19 kes, iaitu

kluster rumah kediaman termasuk Kluster HHY Construction yang merupakan rumah yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat berkenaan.

Di samping itu, lima kluster ditutup setelah tidak ada kes dikesan dalam tempoh 28 hari iaitu  Kluster Champion 7 – Platform, Kluster 3340, Kluster 3395, Kluster 3733 dan Kluster 4944. Ini bermakna p, jumlah kluster yang aktif adalah 166.

Dr. Md Isham juga memaklumkan sebanyak 179 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh sebanyak 8,421 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 2,721 kes.

Dalam kalangan kes yang sedang dalam rawatan, enam kes adalah dalam Kategori 5 dan dirawat di Unit Rawatan Intensif.

Kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan dua daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan Heart / Lung Machine (ECMO).

Sementara itu, 21 kes lain dikategorikan dalam Kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 6,254 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 451,179 ujian.

Ketika ini terdapat 1,630 kes positif sedang ditempatkan di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara yang mana 43.6 peratus daripadanya adalah warganegara tempatan dan 56.4 peratus adalah warganegara asing.

Related posts

Leave a Comment