Covid-19: Jangan biarkan diri ketakutan

SINGAPURA 10 Okt. – Rakyat Singapura perlu mengubah pemikiran tentang Covid-19  serta tidak membiarkan diri mereka hidup dalam ketakutan, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Katanya, Covid-19 telah menjadi penyakit ringan yang dapat diubati bagi sebahagian besar penduduk, terutama bagi golongan muda atau mereka yang sudah lengkap divaksin.

“Maka itu, bagi 98 peratus penduduk negara ini, jika kita dijangkiti Covid-19, kita boleh menjalani pemulihan di rumah, sama seperti jika kita mengalami selesema,” katanya dalam perutusan berkaitan Covid-19 ke seluruh negara semalam.

Beliau berkata sebahagian besar ancaman Covid-19 adalah terhadap warga tua dan juga mereka yang belum divaksin.

“Inilah sebabnya mengapa negara sudah beralih kepada sangat bergantung kepada pemulihan di rumah, “ kata Lee.

“Anda boleh menjalani pemulihan dan beransur pulih dalam suasana rumah anda, tanpa mengalami sebarang tekanan dan mendaftarkan diri anda ke dalam sebuah kemudahan jagaan.

“Jika sebahagian besar daripada kita dapat menjalani pemulihan di rumah, ia akan mengurangkan beban terhadap hospital, doktor dan jururawat kita,” katanya.

Bagaimanapun beliau maklum ramai yang bimbang dan prihatin untuk menjalani pemulihan di rumah kerana khuatir tentang risiko terhadap anggota keluarga serta jagaan dan sokongan yang diperlukan sekiranya keadaan bertambah teruk.

Lee berkata beliau memahami kebimbangan orang ramai dan memberi jaminan bahawa setiap orang yang menjalani pemulihan di rumah akan menerima jagaan dan sokongan yang diperlukan sepanjang tempoh pemulihan.

Beliau juga mengingatkan, setiap orang bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan juga dari segi tanggungjawab sosial, seperti melakukan ujian kendiri jika perlu, menjalani pengasingan diri jika positif atau berjumpa doktor jika mengalami simptom.

“Apabila kita tahu apa yang perlu dilakukan, kita tidak lagi akan menganggap Covid-19 sebagai satu penyakit yang menakutkan,” kata Lee

Beliau turut menyatakan, lambat laun, setiap orang mungkin akan dijangkiti virus itu. dan bermakna semua warga emas juga akan dijangkiti virus tersebut dan bagi mereka, risikonya sangat nyata.

Related posts

Leave a Comment