SIA tambah penerbangan ke 9 bandar

SINGAPURA 10 Okt. – Syarikat penerbangan, Singapore Airlines (SIA) akan menambah penerbangan di bawah skim Laluan Perjalanan bagi Orang yang Divaksin (VTL) ke sembilan lagi bandar bermula 19 Oktober ini.

SIA akan mengendalikan penerbangan VTL dari Amsterdam, Barcelona, Copenhagen, London, Los Angeles, Milan, New York, Paris dan Rome.

Penerbangan itu adalah tambahan kepada perkhidmatan dari Seoul yang akan bermula pada 16 November.

Syarikat penerbangan itu sudahpun mengendalikan penerbangan VTL ke Bandar Seri Begawan di Brunei, serta Frankfurt dan Munich di Jerman.

Sementara itu, syarikat penerbangan tambang murah di bawah SIA Group, Scoot – akan mengendalikan penerbangan VTL dari Berlin mulai 20 Oktober.

Di bawah peraturan tersebut, mereka yang sudah divaksinasi boleh terbang ke negara-negara yang dikenal pasti dan memasuki Singapura tanpa perlu menjalani kuarantin.

Bagaimanapun, mereka akan dikenakan syarat seperti perlu menjalani ujian reaksi rantaian polimerase (PCR) sebelum keberangkatan dan ketibaan.

Negara-negara yang baharu disertakan di bawah skim itu adalah Kanada, Denmark, Perancis, Itali, Belanda, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika Syarikat, menjadikan jumlah negara di bawah aturan tersebut kini menjadi 11.

SIA juga menyatakan jadual perjalanan beberapa bandar di negara-negara VTL ini dibenarkan jika pelanggan memenuhi syarat sejarah perjalanan 14 hari, termasuk negara transit.

Misalnya, mereka boleh terbang dari Singapura ke Paris, kemudian Paris ke Amsterdam, dan masih layak bagi penerbangan VTL dari Amsterdam ke Singapura.

Bagaimanapun , penumpang yang melakukan perjalanan dari Singapura ke Los Angeles melalui Tokyo tidak layak jika menetap di Los Angeles kurang dari dua minggu, kerana Tokyo tidak termasuk di bawah aturan tersebut.

Related posts

Leave a Comment