Kes harian Singapura terus meningkat

SINGAPURA 10 Okt. – Jumlah kes jangkitan Covid-19 di Singapura terus menunjukkan peningkatan apabila merekodkan 3,703 kes semalam (Sabtu) termasuk tiga kes import berbanding 3,590 semalam.

Dalam kalangan jumlah ini, 3,700 adalah jangkitan tempatan yang terdiri daripada 2,868 kes dalam masyarakat dan 832 di asrama pekerja asing.

Ini adalah hari kelima Singapura masih menjangkaui paras 3,000 kes sehari dan semalam merekodkan 11 lagi meninggal dunia menjadikan jumlah keseluruhan 153 kematian serta 124,157 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), penduduk yang meninggal dunia berusia antara 56 dengan 90 tahun terdiri daripada lima lelaki dan enam wanita.

Empat daripada mereka tidak divaksin, tiga pula hanya mendapat satu suntikan vaksin manakala empat lagi sudah lengkap divaksin.

Sepuluh daripada mereka mempunyai pelbagai masalah kesihatan manakala seorang pesakit yang belum lengkap divaksin tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan yang diketahui.

Pesakit berusia 56 tahun yang meninggal dunia itu belum lengkap divaksin dan mempunyai beberapa masalah kesihatan.

Sementara itu, sebanyak 1,569 pesakit dimasukkan ke hospital dengan sebahagian besar berada dalam keadaan baik dan dipantau.

Terdapat 302 pesakit yang memerlukan bantuan oksigen dan 40 di unit jagaan rapi (ICU). Dalam kalangan mereka yang sakit teruk, 291 berusia lebih 60 tahun.

Sepanjang 28 hari yang lalu, terdapat 672 kes yang memerlukan bantuan oksigen dan 69 dirawat di ICU.

Dalam kalangan mereka, 49.5 peratus sudah lengkap divaksin dan 50.5 peratus belum divaksin atau sudah mendapatkan satu dos suntikan vaksin.

Dalam kemas kini hari ini, juga termasuk data baru mengenai kes masyarakat yang menjalani pemulihan di rumah dan kemudahan lain.

Setakat semalam , 15,606 kes masyarakat sedang menjalani pemulihan di rumah, 2,875 kes di kemudahan jagaan masyarakat dan 360 kes di kemudahan rawatan Covid-19 manakala baki sebanyak 7.7 peratus sedang dirawat di hospital.

Related posts

Leave a Comment