Hutang AS cecah AS$40 trilion

WASHINGTON – Data Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) menunjukkan jumlah hutang negara kasar setakat 18 Ogos 2026 mencecah AS$40.05 trilion, melepasi paras bersejarah, menandakan cabaran fiskal yang semakin meruncing.

Pencapaian itu berlaku, lima bulan selepas hutang persekutuan melepasi paras AS$39 trilion pada Mac lalu, selepas melangkaui AS$38 trilion pada Oktober 2025.

Menurut pakar ekonomi, peningkatan hutang negara AS berpunca daripada gabungan beberapa faktor, termasuk kos pembayaran faedah yang kian meningkat susulan beban hutang yang besar dan kadar faedah yang lebih tinggi.

Pada masa sama, perbelanjaan kerajaan bagi program kebajikan seperti Social Security dan Medicare turut bertambah seiring dengan penuaan populasi negara itu.

Pejabat Belanjawan Kongres (CBO) mengunjurkan jumlah hutang negara kasar AS akan terus meningkat kepada AS$63 trilion menjelang 2036. 

Defisit tahunan kerajaan persekutuan pula dijangka berkembang daripada sekitar AS$2.1 trilion bagi tahun fiskal semasa kepada AS$3.1 trilion setahun dalam tempoh sedekad akan datang.

Paras hutang AS$40 trilion itu menyusuli satu lagi petunjuk membimbangkan apabila hutang yang dipegang orang awam, mencecah AS$31.27 trilion pada Mac lalu.

Jumlah tersebut mengatasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) AS yang bernilai AS$31.22 trilion, menandakan kali pertama dalam kira-kira 80 tahun hutang awam negara itu lebih besar daripada keseluruhan ekonominya.

Menurut CBO, nisbah hutang awam kepada KDNK dijangka terus meningkat dan berpotensi melepasi rekod 106 peratus yang dicatatkan pada 1946. Nisbah itu diunjurkan mencapai sekitar 120 peratus menjelang 2036 sekiranya trend fiskal semasa berterusan.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment