89.7 peratus lengkap vaksinasi

PUTRAJAYA 10 Okt. – Setakat 11.59 malam tadi, sebanyak 89.7 peratus populasi dewasa telah melengkapkan vaksinasi mereka yang bermakna berbaki 0.3 peratus lagi sebelum kelonggaran perjalanan rentas negeri dinikmati rakyat Malaysia .

Peratusan lengkap vaksinasi itu membabitkan seramai 21,003,074 individu, selain populasi dewasa belum lengkap divaksinasi direkodkan sebanyak lima peratus atau 1,172,944 orang dan tiada vaksinasi (1,233,582 atau 5.3 peratus).

Kelonggaran perjalanan rentas negeri akan dinikmati orang ramai apabila kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa mencapai 90 peratus, seperti diumumkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, pada 22 September lalu.

Larangan perjalanan rentas negeri itu dikuatkuasakan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, menerusi pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bagi membendung penularan Covid-19, mulai 31 Mei lalu.

Perkongsian sama turut menjelaskan, seramai 20,389,622 atau 62.4 peratus keseluruhan populasi di negara ini direkodkan lengkap divaksinasi, manakala belum lengkap divaksinasi (3,255,715 atau 10 peratus) dan tiada vaksinasi (9,012,063 atau 27.6 peratus).

Angka itu membabitkan pemberian 141,897 dos vaksin Covid-19 kepada penerima, masing-masing 39,183 dos pertama dan 102,714 dos kedua, menjadikan jumlah kumulatifnya meningkat kepada 45,521,196 dos.

Related posts

Leave a Comment