Minggu depan darurat atau PRN

PUTRAJAYA 8 Okt. – Kerajaan akan membuat keputusan minggu depan, sama ada akan menasihatkan Pemangku Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di Melaka bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata Sultan Nazrin Muizzudin Shah dalam proses mendapat taklimat daripada beberapa pihak berhubung perkara berkenaan, sebelum membuat keputusan.

“Jadi kita tunggulah selepas taklimat kepada Pemangku Yang di-Pertuan Agong.

Kabinet akan membuat keputusan minggu depan,” katanya selepas Majlis Prapelancaran Keluarga Malaysia di Angkasapuri di sini, hari ini.

Beliau berkata, Jemaah Menteri membincangkan isu PRN Melaka dalam mesyuarat hari ini, tetapi tidak membuat sebarang keputusan.

“Ini kerana saya difahamkan Pemangku Yang di-Pertuan Agong akan mendapatkan taklimat daripada Peguam Negara, Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai saranan untuk kerajaan menasihatkan Pemangku Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di Melaka bagi menangguhkan PRN di negeri itu.

Ini berikutan kebimbangan terhadap kemungkinan situasi pandemik di Malaysia akan kembali serius jika PRN Melaka diadakan, seperti yang berlaku selepas PRN Sabah.

Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali, memohon membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa 4 Oktober lalu selepas beliau hilang majoriti sokongan, susulan tindakan empat ADUN daripada blok kerajaan menarik sokongan terhadap kepemimpinannya.

Yang di-Pertua Negeri, Mohd Ali Rustam memperkenan permohonan pembubaran.

Mengikut Perlembagaan negeri, PRN perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.

Related posts

Leave a Comment