1.3 juta kenderaan dijangka rentas negeri

KUALA LUMPUR 8 Okt. – Aliran trafik Lebuh Raya Utara Selatan dijangka meningkat di antara 1.1 hingga 1.3 juta kenderaan setiap hari selepas kebenaran merentas negeri dibenarkan, kata Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi.

Katanya, jangkaan itu berikutan ramai pengguna terutama di Lembah Klang akan mengambil peluang bercuti bersama keluarga selepas menantinya sekian lama.

“Kami sudah melakukan persiapan di 94 plaza tol bagi mengalu-alukan pembukaan semula perjalanan rentas negeri. Semua laluan lebuh raya utara selatan  bersedia menerima kenderaan sebaik sekatan ditarik balik,” katanya dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran merentas negeri yang akan diumumkan dalam tempoh beberapa hari lagi akan berkuat kuasa serentak di seluruh negara.

Ismail meminta rakyat bersabar sementara menunggu kadar vaksinasi negara mencapai 90 peratus.

Sementara itu Zakaria menasihatkan orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau berkata, antaranya mendaftar masuk MySejahtera, memakai pelitup muka dengan sempurna, mengamalkan penjarakan fizikal dan kerap menggunakan cecair pembasmi kuman pada tangan.

Katanya, pemandu wajar berhenti selepas memandu kira-kira dua jam bagi menghilangkan keletihan.

Zakaria berkata, dalam memastikan keselamatan dan keselesaan di lebuh raya, kakitangan PLUSRonda, kru keselamatan dan penyelenggaraan serta kakitangan perkhidmatan pelanggan di sepanjang 1,130 kilometer lebuh raya sudah bersiap sedia.

“PLUS akan bekerjasama dengan polis trafik dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi meningkatkan penguatkuasaan lebuh raya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment