SEREMBAN 17 Sept. – Menteri Besar, Ismail Lasim mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan diputuskan sebulat suara oleh semua ahli Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dalam mesyuarat pada Selasa lalu.
Beliau berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sudah diminta untuk melaksanakan pewartaan proses proklamasi terbabit mengikut peraturan sedia ada.
“Pada hari ini, saya ingin mengesahkan bahawa proklamasi memang sudah dibincangkan dan diputuskan oleh semua ahli Exco secara sebulat suara pada mesyuarat MMK pada Selasa lalu.
Proses pewartaan sudah pun kita minta untuk Setiausaha Kerajaan Negeri untuk teruskan mengikut peraturan sedia ada. Itu saja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan di sebuah hotel di sini,hari ini.
Semalam, satu kenyataan atas nama Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri disiarkan di beberapa portal bahawa proklamasi pemilihan Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar menurut Perkara 11 UUTKNS 1959 bertarikh 19hb April 2026, sudah ditandatangani dan dicop mohor oleh Undang Luak yang sah dan berkuatkuasa.
Kenyataan itu menyebut bahawa proklamasi tersebut adalah teratur dan sempurna menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Mesyuarat itu juga menjunjung tinggi ketetapan yang dibuat oleh Undang Yang Empat dan menghormati prerogatif kuasa Undang Yang Empat sebagaimana yang termaktub menurut adat serta UUTKNS 1959.
Nnn
