Radzi susun semula Bersatu Melaka

KUALA LUMPUR 25 Feb . – Naib Presiden Bersatu,  Dr Radzi Md Jidin dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, berkuat kuasa serta-merta bagi menyusun semula struktur kepemimpinan Bahagian-Bahagian parti di negeri itu.

Radzi menggantikan  Rahim Thamby Chik yang meletakkan jawatan itu semalam, susulan kemelut politik dalam parti berkenaan.

Semalam, sebanyak lima daripada enam bahagian Bersatu di Melaka iaitu Masjid Tanah, Hang Tuah Jaya, Tangga Batu, Alor Gajah dan Jasih ‘dibubarkan’ serta-merta selepas hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan tertinggi parti itu.

Pembubaran turut membabitkan Jawatankuasa Bahagian, Jawatankuasa Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Srikandi, Srikandi Muda, Bersekutu Bahagian, seluruh cawangan serta sayap-sayap bahagian.

Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali, berkata pelantikan Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya mengambil kira pengalaman dan kepemimpinan yang diyakini mampu membina kekuatan dalam kalangan pemimpin baharu yang komited kepada idealisme perjuangan parti.

“Tugas utama beliau untuk menyusun semula struktur kepimpinan Bahagian-Bahagian Bersatu di Melaka, dalam kalangan pemimpin tempatan termasuk anak muda dan golongan profesional dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Radzi juga menjalankan tugas Timbalan Presiden bersama-sama Ahmad Faizal Azumu susulan pemecatan Hamzah Zainudin daripada parti itu.

Sementara itu Ketua Bahagian Bersatu Kota Melaka, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pelantikan Dr. Radzi selaras dengan keperluan semasa serta cabaran politik yang semakin dinamik.

Katanya, pelantikan itu satu langkah strategik dan tepat dalam usaha memperkukuh semula saf kepimpinan parti itu di negeri tersebut.

Beliau yang menyatakan sokongan penuh, atas pelantikan itu berkata, seluruh sayap Bersatu Bahagian Kota Melaka juga bersedia untuk memberikan kerjasama serta bantuan sepenuhnya terhadap Ahli Parlimen Putrajaya berkenaan.

“Semoga dengan kepimpinan baharu ini, Bersatu Negeri Melaka akan terus bangkit, lebih tersusun dan mara ke hadapan demi perjuangan parti serta kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment