Kesan positif PICK di enam negeri

PUTRAJAYA 15 Ogos – Perkembangan positif kesan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mula dilihat di enam negeri apabila jangkitan bagi kategori tiga hingga lima turun selepas liputan dos lengkap vaksin penduduk dewasa melebihi 40 peratus.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, berkata perkembangan positif itu berlaku  di Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Katanya, Labuan mencatat sifar kes Covid-19 buat pertama kali sejak pandemik itu dikesan di wilayah itu yang kini mencatatkan 88.1 peratus penerima dos lengkap vaksin, bagi individu berusia 18 tahun ke atas.

“Pada masa sama, data daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) menunjukkan situasi di jabatan kecemasan di hospital Lembah Klang juga bertambah baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengambil contoh, purata pesakit yang menunggu di jabatan kecemasan untuk ditempatkan ke wad pesakit bagi hospital Kementerian Kesihatan (KKM) di negeri Lembah Klang sudah menurun.

“Pada 31 Julai lalu, purata sehari pesakit yang menunggu di jabatan kecemasan ialah 909 orang. Alhamdulillah, hasil perancangan rapi kerajaan dan pelaksanaan strategi KKM serta kesan vaksinasi, purata sehari pesakit yang menunggu menurun kepada 239 orang pada 13 Ogos,” katanya

Perdana Menteri berharap agar trend penurunan itu akan berterusan, sekali gus dapat mengurangkan beban kes Covid-19 yang serius serta kemasukan pesakit ke unit rawatan rapi (ICU).

Bagaimanapun, beliau mengingatkan di sebalik penurunan kes baharu itu, kapasiti pesakit di ICU masih penuh memandangkan rawatan pesakit di ICU jauh lebih rumit dan memerlukan tempoh lebih panjang, berbanding di wad biasa.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai, khususnya ibu hamil dan remaja yang layak menerima vaksin seperti diputuskan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), segera mendaftar untuk mendapatkan suntikan masing-masing.

Begitu juga dengan majikan perlu memainkan peranan untuk memastikan pekerja mereka, termasuk pekerja warga asing, mendapat vaksinasi.

Related posts

Leave a Comment