PUTRAJAYA 5 Ogos – Kongres Tahunan PKR pertengahan bulan ini dijangka menjadi medan muhasabah dan `post-mortem’ parti susulan keputusan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor dan Negeri Sembilan.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, berkata perwakilan daripada kedua-dua negeri dijangka membangkitkan perkara berkaitan sepanjang pilihan raya berkenaan, selain mengemukakan pengajaran dan tindakan yang perlu diambil parti.
Beliau berkata, selain memenuhi keperluan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) selaras perlembagaan parti, kongres berkenaan akan membincangkan langkah penambahbaikan dalaman berdasarkan dapatan daripada pilihan raya terbabit.
“Sudah pasti isu-isu yang akan dibangkitkan saya kira oleh perwakilan dari Johor dan juga Negeri Sembilan, apa yang mungkin disaksikan untuk bukan hanya bermuhasabah, mengambil ibrah, mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku pada pilihan raya Johor dan Negeri Sembilan.
Dan apa tindakan yang perlu diambil dalaman parti, itu yang pertama, sama ada dari segi jentera, dari segi tugasan, dari segi mungkin persiapan calon dan sebagainya,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Kongres Nasional Keadilan 2026 akan berlangsung di Melaka International Trade Centre, Ayer Keroh, Melaka pada 15-16 Ogos 2026, manakala persidangan Angkatan Muda Keadilan dan Wanita Keadilan berlangsung sehari lebih awal.
Sekretariat Kongres Nasional Keadilan 2026 mengalu-alukan kehadiran para pimpinan pusat dan negeri yang turut merangkumi 2500 orang perwakilan serta sekurang-kurangnya 3000 orang pemerhati anggota Keadilan.
Bertemakan “Memugar Reformasi, Membina Madani” , kira-kira 2,500 perwakilan dijangka hadir dengan sekurang-kurangnya 3000 pemerhati anggota Keadilan.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, kongres itu juga berkemungkinan membincangkan keperluan mengambil tindakan berkaitan dasar kerajaan berdasarkan dapatan yang dikemukakan perwakilan.
Pada PRU DN Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini, Pakatan Harapan (PH) yang membabitkan PKR, DAP dan Amanah mengalami kekalahan teruk di mana di Johor, PH memenangi lapan daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala di Negeri Sembilan, memperoleh 11 daripada 36 kerusi.
Sementara itu Pengarah Kongres Nasional Keadilan 2026 Saifuddin Shafi Muhammad berkata, tema kongres iaitu “Memugar Reformasi, Membina Madani” membawa makna yang besar dan mendalam.
“Ia menuntut kita bukan sahaja mengimbau kembali roh perjuangan reformasi yang menjadi asas penubuhan parti, tetapi juga memperkukuh dan memperbaharuinya agar terus relevan dalam mendepani cabaran semasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Perbahasan akan bertumpu kepada isu-isu rakyat seperti ekonomi, pendidikan dan politik dengan enam belas orang pembahas akan membahaskan ucapan dasar Presiden Keadilan, dengan masing-masing mewakili sayap parti serta negeri-negeril
Kongres akan menjadi medan meneruskan semangat dan keazaman anggota parti untuk teguh menjadi benteng perjuangan reformasi serta mempertahankan integriti, menegak keadilan sosial, menyantuni golongan tidak berupaya dan yang lemah, dan memperkukuh perpaduan serta semangat kebersamaan antara kaum di negara ini.
“Justeru menjadi harapan kami agar Kongres Nasional Keadilan 2026 akan berhasil mencipta momentum kesepaduan di kalangan pimpinan dan anggota parti, mencari titik persamaan dan meneruskan ikhtiar membina Malaysia yang lebih bermaruah, lebih makmur dan lebih adil untuk semua,” kata Saifuddin.
Nnnn
