SEPANG 5 Ogos – Kementerian Kewangan (MoF), mengumumkan harga runcit petrol RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing turun lima sen seliter bagi tempoh 6 hingga 12 Ogos 2026.
Menurut kenyataan MoF hari ini, harga baharu RON97 ditetapkan pada RM4.35 seliter, RON95 tanpa subsidi RM3.77 seliter dan diesel tanpa subsidi RM4.57 seliter, berkuat kuasa mulai esok.
MoF menjelaskan walaupun harga minyak mentah Brent melepasi USD90 setong pada minggu lalu, penurunan pada penghujung tempoh pengiraan harga Automatic Pricing Mechanism (APM) menyebabkan harga petroleum tanpa subsidi dikurangkan.
Sementara itu, harga bahan api bersubsidi kekal tidak berubah, iaitu BUDI Madani RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter, BUDI Madani Diesel (BUDI Diesel) pada RM2.10 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pada RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pada RM2.15 seliter.
MoF berkata keadaan geopolitik yang kekal tidak menentu, termasuk perkembangan berkaitan usaha perdamaian yang berubah dari hari ke hari, terus menyebabkan turun naik ketara dalam pasaran minyak dunia.
Menurut MOF, harga petroleum kekal sensitif terhadap risiko gangguan bekalan sekiranya laluan perkapalan utama, khususnya Selat Hormuz dan Laut Merah, terjejas susulan peningkatan konflik.
Selagi konflik tersebut belum mencapai penyelesaian muktamad, harga produk petroleum dijangka terus dibelenggu ketidaktentuan pasaran dunia.
MoF berkata Kerajaan Madani bertekad untuk melindungi rakyat dan perniagaan daripada tempias keruncingan global menerusi penyediaan subsidi bersasar BUDI95, BUDI Diesel, SKDS dan SKPS.
Bagaimanapun kerajaan turut menyeru rakyat supaya mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemah dengan merancang perjalanan secara lebih cekap serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu bagi membantu mengurangkan tekanan terhadap bekalan negara dan perbelanjaan subsidi,” menurut kenyataan itu.
