PAU 9 hingga 12 September

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 dijadualkan berlangsung selama empat hari mulai 9 hingga 12 September depan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perhimpunan tahunan itu akan bermula dengan sesi Taklimat Presiden pada 9 September, diikuti Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri pada sebelah malam.

Perhimpunan agung bagi ketiga-tiga pergerakan itu akan berlangsung selama sehari pada 10 September diikuti PAU 2026 yang dijadualkan berlangsung selama dua hari pada 11 dan 12 September depan.

PAU kali ini dijangka menjadi tumpuan susulan perkembangan politik semasa, antaranya kejayaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor dan Negeri Sembilan, persefahaman dibentuk antara BN dengan Perikatan Nasional, serta persediaan BN untuk menghadapi PRU DN Melaka dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Sementara itu, UMNO dalam satu kenyataan berkata PAU 2026 diharap menjadi medan terbaik untuk memperkukuhkan ukhuwah dan kesatuan saf perjuangan, memperbaharui iltizam, serta mempertegas komitmen seluruh warga parti dalam mendepani cabaran semasa.

Perhimpunan ini juga diharap menjadi platform untuk memperkukuhkan UMNO sebagai Rumah Bangsa, tempat berteduhnya perjuangan orang Melayu dan Bumiputera, serta wadah yang terus istiqamah mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.

Sebelum ini, PAU 2026 dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 15 Ogos ini.

NNNN

Related posts

Leave a Comment