Dah boleh gunting rambut

PUTRAJAYA 15 Ogos – Mulai esok boleh gunting rambut, ke pasar tani, beli perabot,  cuci kereta dan macam-macam lagi bagi negeri Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan syarat vaksinasi lengkap penduduk dewasa di negeri berkenaan mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus.

Pada masa yang sama, individu yang ingin memanfaatkan kemudahan yang diumumkan itu juga mestilah sudah menerima vaksinasi lengkap, dua dos.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan kebenaran operasi untuk 11 aktiviti ekonomi bagi negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), dalam sektor perdagangan dan pengedaran, berkuat kuasa esok.

Perdana Menteri berkata, 11 kegiatan ekonomi itu ialah kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barang rumah dan peralatan dapur, kedai perabot dan kedai peralatan sukan.

Selain itu, katanya, turut dibenarkan beroperasi ialah kedai aksesori kereta; pusat pengedaran dan jualan kereta; pasar pagi dan pasar tani; kedai pakaian, fesyen dan aksesori; kedai barang kemas serta kedai gunting rambut dan pusat atau salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja).

Beliau berkata, kemudahan diumumkan itu boleh dilaksanakan di negeri Fasa 1 dan Fasa 2, dengan syarat vaksinasi lengkap penduduk dewasa di negeri berkenaan sudah mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus.

Related posts

Leave a Comment