Bahas,ungkai Ordinan Darurat Sept.

PUTRAJAYA 3 Ogos – Usul bagi membahas dan mengungkai Ordinan-Ordinan Darurat boleh dibawa ke sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada September ini.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, sebelum ini proses pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong seperti mana disembah nasihat oleh Jemaah Menteri pada 23 Julai lalu, tidak dapat disempurnakan.

“Dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos 2021, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak lagi berbangkit.

“Maka selaras titah pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, usul untuk membahas dan seterusnya mengungkai Ordinan-Ordinan Darurat itu boleh dibawa dalam sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada September 2021,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, usul membabitkan pembatalan Ordinan-Ordinan darurat akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok.

Katanya, ia diharapkan dapat menyelesaikan polemik berkaitan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat secara harmoni dan berperlembagaan.

Khamis lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankan baginda.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Idrus Harun, semasa majlis menghadap secara maya 24 Julai lalu bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, tidak dilaksanakan.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya kemudian memaklumkan, semua tindakan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Pejabat Perdana Menteri juga menyebut, Yang di-Pertuan Agong sedia maklum bahawa Seri Paduka Baginda perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

Related posts

Leave a Comment