Malaysia catat 219 kematian harian

PUTRAJAYA 2 Ogos – Malaysia merekodkan kes kematian tertinggi apabila 219 orang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 hari ini, menjadikan angka korban keseluruhan akibat wabak itu meningkat kepada 9,403 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah kes kematian yang dilaporkan, sebanyak 201 kes adalah warganegara Malaysia, manakala 18 lagi warga asing.

Selangor terus menjadi negeri tertinggi melaporkan kes kematian iaitu 105 kes manakala Kuala Lumpur (41), Johor (24), Melaka (sembilan) dan Pahang (lapan).

Negeri Sembilan mencatatkan tujuh kes kematian, masing-masing enam kes di Kedah dan Perak, masing-masing empat kes di Kelantan dan Terengganu, Sabah (tiga) serta satu kes di Labuan dan Perlis.

Dr Noor Hisham dalam kenyataannya berkata, jumlah kes harian menunjukkan sedikit penurunan iaitu 15,764 kes. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 negara meningkat kepada 1,146,186.

“Sementara, 286 kes atau 1.8 peratus lagi kes yang dikesan hari ini berada dalam kategori tiga hingga lima iaitu mempunyai radang paru-paru, memerlukan bantuan oksigen serta kritikal,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, daripada kes baharu yang dikesan hari ini terdapat 3,525 kes atau 22.4 peratus mempunyai sejarah imunisasi Covid-19 sekurang-kurangnya satu dos.

Daripada jumlah yang dinyatakan itu, kategori satu terdapat 1,077 kes yang mempunyai sejarah vaksinasi sekurang-kurangnya satu dos, kategori dua (2,380), kategori tiga (49), kategori empat (17) dan kategori lima (dua).

Pertambahan kes baharu semalam menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan di negara ini sebanyak 199,051 dan daripada jumlah itu 1,063 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 532 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Hingga jam 12 tengah hari tadi, 11,767 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 di negara ini ialah 937,732 kes atau 81.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Related posts

Leave a Comment