Kemboja suntik 2 juta kanak-kanak

PHNOM PENH 2 Ogos – Sekurang-kurangnya dua juta kanak-kanak Kemboja berusia 12 hingga 17 tahun dijangka diberi vaksin dalam usaha kerajaan mecapai imuniti kelompok, kata Perdana Menteri Hun Sen

Langkah awal yang bermula hari ini melibatkan kanak-kanak di Phnom Penh dan tiga wilayah Kandal, Koh Kong dan Preah Sihanouk. Cucu Hun Sen antara penerima utama vaksin itu.

Menurut laporan media, melalui kempen vaksinasi itu, kerajaan juga menimbang untuk menyuntik kanak-kanak berusia 10 hingga 11 tahun

Menurut Hun Sen pihak berkuasa juga akan segera memulakan pemberian suntikan penggalak (booster) kepada orang dewasa yang lengkap divaksin.

Kerajaan memutuskan untuk memberi suntikan ketiga menggunakan vaksin AstraZeneca kepada mereka yang telah menerima dua dos vaksin Sinopharm dan Sinovac.

Beliau berkata kira-kira 500,000 hingga satu juta petugas barisan hadapan, terutama di kawasan bersempadan dengan Thailand, akan diberi keutamaan untuk suntikan ketiga.

Sehingga 31 Julai, lebih 7.3 juta orang dewasa di Kemboja menerima sekurang-kurangnya dos pertama manakala lebih 4.7 juta memperoleh dos kedua.

Semalam, 23 kematian dan 671 kes baharu dicatatkan dalam 24 jam, termasuk 265 kes import dan 406 kes jangkitan tempatan.Angka tersebut menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan 77,914, dengan 70,754 telah pulih dan 1,420 kematian.

Related posts

Leave a Comment