Lima kluster ziarah perayaan

PUTRAJAYA 2 Ogos – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 11 kluster dalam kalangan masyarakat iaitu lima daripadanya berpunca daripada aktiviti ziarah ketika perayaan yang kini sudah menjangkiti seramai 96 individu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tiga daripada lima kluster membabitkan aktiviti ziarah itu dikesan di Kelantan dan masing-masing satu di Johor dan Kedah.

Dalam kenyataannya, beliau memberitahu, kluster komuniti itu adalah daripada 29 kluster baharu yang dikesan hari ini, iaitu 13 membabitkan tempat kerja, tiga dalam kumpulan berisiko tinggi serta satu kluster masing-masing membabitkan aktiviti keagamaan dan institusi pendidikan.

Kluster Kampung Raya Sagil dikesan di Tangkak, Johor yang kini menjangkiti 13 individu, membabitkan individu yang menjalankan aktiviti ziarah di Kampung Melayu Raya Sagil, Tangkak sewaktu sambutan perayaan.

Kes indeks bagi kluster ini ialah lelaki berusia 37 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 hari ini hasil saringan individu bergejala. Kes mula bergejala pada 20 Julai.

Kluster Kampung Dewan Kecil pula dikesan di Machang, Kelantan yang sudah menjangkiti 10 individu. Ia membabitkan individu yang menjalankan aktiviti ziarah di Kampung Dewan Kecil, Machang sewaktu sambutan perayaan.

Kes indeks adalah seorang wanita 68 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 27 Julai lalu dan beliau mula mengalami gejala pada 25 Julai.

Sementara itu, mengenai Kluster Chabang Empat Chetok 2, ia sudah menjangkiti 18 individu dan ia juga adalah adalah kluster berulang di lokaliti yang sama.

Kluster ini membabitkan individu yang menghadiri sebuah majlis perkahwinan dan juga sambutan perayaan. Kes indeks bagi kluster ini adalah wanita berusia 32 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 30 Julai lalu hasil saringan individu bergejala. Kes mula bergejala pada 24 Julai.

Nama kluster ini merujuk kepada lokaliti penularan kes dilaporkan berlaku iaitu di Kampung Cabang Empat Chetok, Pasir Mas.

Sementara itu, dua kluster lagi adalah Kluster Kubang Telaga di Bachok, Kelantan yang menjangkiti 16 individu serta Kluster Dah Kampung Tok di Kota Setar Kedah yang menjangkiti 39 individu.

Related posts

Leave a Comment