Momentum terbaik pemulihan ekonomi

KUALA LUMPUR 6 Jun – Proses pemulihan ekonomi negara pasca pandemik berada pada momentum terbaik selepas beberapa langkah diambil menunjukkan hasil memberangsangkan, kata Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, ia berdasarkan perkembangan ekonomi negara yang mencatat pertumbuhan 3.1 peratus berbanding penguncupan 5.6 peratus pada tahun sebelumnya.

Kerajaan juga bertekad memacu ekonomi untuk mencapai pertumbuhan antara 5.3 hingga 6.3 peratus seperti yang diunjurkan, selain komited melonjakkan prestasi perdagangan dan pelaburan negara, termasuk memastikan pelaburan langsung domestik terus dirangsang.

Langkah yang diambil mendorong keyakinan komuniti pelabur antarabangsa terhadap prospek pertumbuhan, sekali gus kemajuan ekonomi negara kekal teguh.

Sebagai contoh, sepanjang suku pertama tahun ini, pelaburan langsung asing bersih meningkat kepada RM24.4 bilion berbanding RM18.4 bilion pada suku keempat tahun lalu.

“Jumlah perdagangan luar pula berkembang sebanyak 23.6 peratus kepada RM624.9 bilion manakala aliran masuk bersih dana asing kekal konsisten dengan jumlah RM7.4 bilion setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Perdana Menteri memaklumkan pembukaan sempadan negara sejak 1 April lalu merancakkan usaha pemulihan ekonomi, khususnya sektor pelancongan, dengan dua juta pelancong asing dijangka mengunjungi Malaysia tahun ini dan menyumbang RM8.6 bilion kepada ekonomi negara.

“Kerajaan Tuanku melalui Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau situasi semasa jangkitan Covid-19 dan bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memastikan kestabilan kesihatan awam berada pada tahap yang memuaskan serta berfungsi dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati terhadap perkembangan global terkini, khususnya isu bekalan dan kenaikan harga bahan makanan yang berlaku akibat konflik Russia-Ukraine.

Konflik yang berlaku sebaik selepas pandemik itu memberi kesan pada Malaysia, Asia dan seluruh dunia, berikutan krisis geopolitik itu menjejaskan rantaian bekalan global hingga menyebabkan harga bahan makanan dunia meningkat melebihi 30 peratus.

Jelas Perdana Menteri, lima langkah jangka pendek sudah dilaksanakan bagi mengatasi isu berkenaan, antaranya membatalkan kelulusan kuota import (AP) barangan makanan dari luar negara serta-merta, menyekat pengeksportan ayam ke luar negara dan memperkenalkan bantuan kewangan secara terus kepada rakyat terutamanya golongan B40 mulai 1 Julai ini.

Selain itu, kerajaan turut mewujudkan Tabung Agromakanan dengan dana berjumlah RM500 juta melalui pemberian pinjaman mudah kepada pemain industri agromakanan, selain mewujudkan stok penimbal untuk ayam, daging dan ikan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi.

“Lima langkah jangka pendek ini adalah pendekatan Kerajaan Tuanku dalam melindungi seluruh Keluarga Malaysia daripada beban kenaikan harga barangan, selain pelbagai subsidi yang dijangka mencecah RM71 bilion tahun ini.

“Langkah jangka pendek ini disusuli dengan beberapa langkah jangka masa sederhana dan jangka masa panjang untuk menstabilkan bekalan dan harga makanan,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kerajaan terus menambah baik program agenda perlindungan sosial di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak, antaranya menerusi fasa pertama Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia bulan lalu yang membabitkan 80 lokaliti bandar, luar bandar termasuk perkampungan Orang Asli bagi membawa mereka keluar dari kepompong kemiskinan.

Selain itu, Perdana Menteri menyifatkan beberapa siri lawatannya ke luar negara baru-baru ini membuktikan jalinan kerjasama yang baik serta hubungan diplomatik yang kukuh antara Malaysia dengan negara luar.

Related posts

Leave a Comment