Ibadah umrah terbuka 10 Ogos

ARAB Saudi mengumumkan ibadah umrah dibuka semula kepada jemaah dari luar negara, bermula 10 Ogos depan bersamaan 1 Muharam 1443 berikutan kelancaran ibadah haji tahun ini .

Semalam, Ahad, ibadah umrah sudah dibuka kepada rakyat Arab Saudi dan penduduk ekspatriat di negara itu.

Awal bulan ini, Kementerian Haji dan Umrah menggantung sementara permohonan untuk menunaikan solat dan ibadah umrah di Masjidilharam

Ia bagi membolehkan jemaah menunaikan ibadah dengan lancar dan petugas menyelesaikan kerja sanitasi di Masjidilharam menjelang musim Haji tahun ini.

Sementara itu menurut Facebook Haramain Sharifain, penerbangan langsung dibenarkan dari semua negara kecuali India, Pakistan, Indonesia, Mesir, Turki, Argentina, Brazil, Afrika Selatan dan Lebanon yang dikehendaki menjalani kuarantin selama 14 hari di negara ketiga sebelum tiba di Arab Saudi.

Selain itu, jemaah diwajibkan telah menerima vaksinasi Covid-19 yang lengkap sama ada vaksin Pfizer, Moderna, AstraZeneca atau Johnson & Johnson (J&J).

Imunisasi lengkap membabitkan vaksin keluaran China pula dikehendaki berserta dos ‘penggalak’ sama ada suntikan Pfizer, Moderna, AstraZeneca atau J&J.

Di samping itu, jemaah terbuka kepada yang berusia 18 tahun dan ke atas, serta ketibaan mereka hendaklah melalui agensi umrah yang ditauliahkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Related posts

Leave a Comment