Jemaah 2020/2021 dibawa ke 2022

KUALA LUMPUR 13 Jun – Rakyat Malaysia yang bermastautin di Arab Saudi boleh memohon melalui Kementerian Haji & Umrah Arab Saudi untuk menunaikan haji tahun ini.

Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataannya berkata, permohonan itu tertakluk kepada kriteria pemilihan dan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Amrin Awaluddin berkata, bakal haji yang diperuntukkan giliran haji pada tahun 2020 dan telah diberi keutamaan sebelum ini untuk menunaikan haji pada 2021, akan diberi keutamaan untuk menunaikan fardu haji pada tahun 2022.

Bagi bakal haji yang gilirannya pula adalah pada tahun ini (2021), mereka akan turut diberi peluang pada tahun 2022 tertakluk kepada kekosongan kuota tahun semasa.

Semalam Kerajaan Arab Saudi memutuskan ibadah haji bagi Musim Haji 1442H/2021M dihadkan hanya untuk warganegara Saudi dan penduduk negara lain yang telah berada dalam negara tersebut sahaja.

Ini berikutan situasi semasa pandemik Covid-19 yang membimbangkan di seluruh dunia.

Katanya, walaupun TH sudah bersiap siaga dan membuat perancangan operasi haji sehingga ke saat akhir, TH menerima keputusan yang telah dibuat oleh pihak Arab Saudi dan Kerajaan Malaysia.

Beliau berkata, keputusan penangguhan pemergian jemaah haji Malaysia tahun ini jelas menunjukkan keprihatinan Kerajaan Arab Saudi yang mengambil berat aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan umat Islam seluruh dunia ekoran penularan wabak Covid-19.

TH turut menasihati umat Islam di Malaysia untuk tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak yang menawarkan pakej haji dan badal haji bagi tahun ini.

“TH memohon semua bakal haji untuk bersabar dan menerima keputusan ini dengan reda serta terus berdoa agar keadaan kembali pulih bagi membolehkan urusan haji diteruskan pada musim-musim hadapan.

“Salah satu dari syarat-syarat wajib haji adalah berkemampuan atau ‘Istito’ah’ untuk pergi menunaikan haji. Antara ciri-ciri Istito’ah ialah dari segi kesihatan, kemampuan kewangan, keamanan dalam perjalanan, pengangkutan yang selamat dan kebenaran kuota haji,” kata kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment