Keperluan suntikan tambahan

WASHINGTON: Individu yang imunitinya terjejas mungkin memerlukan suntikan tambahan vaksin Covid-19, kata Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit (NIAID) Amerika Syarikat, Dr Anthony Fauci.

Katanya, dalam kalangan individu tersebut termasuk pesakit pemindahan organ dan kanser yang memerlukan suntikan ketiga vaksin susulan akan menjadi golongan berisiko.

Tambahnya, pegawai kesihatan sedang mempertimbangkan untuk menyemak semula garis panduan pemakaian pelitup muka terhadap penerima lengkap vaksin Covid-19.

Memetik kajian yang menunjukkan perlindungan berkurang ke atas penerima vaksin, beliau berkata, pegawai kesihatan sedang mengkaji data untuk menentukan waktu sesuai suntikan tambahan vaksin diperlukan.

Minggu lalu, Kementerian Kesihatan Israel melaporkan penurunan keberkesanan vaksin Pfizer-BioNTrch dalam mencegah jangkitan dan kes simptomatik.

Israel kini memberikan dos ketiga vaksin kepada orang ramai bagi meningkatkan perlindungan termasuk mereka yang menjalani pemindahan jantung, paru-paru, hati, ginjal dan pesakit kanser yang menerima rawatan kemoterapi.

Kenaikan mendadak kes jangkitan berlaku di kawasan vaksinasi rendah seperti Florida, Texas dan Missouri yang menyumbang 40 peratus daripada semua kes baharu di seluruh Amerika Syarikat.

Suntikan vaksin di Amerika Syarikat sedang giat dilaksanakan bagi mempercepatkan imuniti kelompok dicapai dan mengelakkan penularan varian Delta.

Related posts

Leave a Comment