Brunei Darussalam kumpul 313 kes

BANDAR SERI BEGAWAN 24 Julai – Dua kes import Covid-19 dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes di Brunei Darussalam meningkat kepada 313 orang.

Setakat ini, sebanyak 172 kes import dicatatkan, iaitu sejak kes terakhir jangkitan tempatan dilaporkan pada 6 Mei 2020.

Menurut Kementerian Kesihatan, kes 312 melibatkan wanita berumur 39 tahun yang tiba dari Jakarta pada 18 Julai 2021 dan mengalami simptom demam panas, batuk dan pening pada hari kedua kuarantin.

Manakala Kes 313 melibatkan wanita berumur 20 tahun yang tiba dari London pada 12 Julai 2021 dan pesakit mengalami batuk dan sakit tekak pada 13 Julai dan kemudian mengalami hilang selera makan.

Bagi kes 312, pengesanan kontak mendapati, tiga kontak terdekat bagi kes ini manakala bagi kes 313, satu kontak terdekat bagi kes ini.

Setakat semalam juga, Brunei Darussalam mencatatkan 443 hari kes sifar, iaitu bagi kes terakhir jangkitan tempatan Covid-19 sejak laporan terakhir dicatatkan.

Sebanyak 41 kes aktif menjalani rawatan di Pusat Pengasingan Kebangsaan dan kesemua kes yang sedang dirawat dalam keadaan yang baik sementara jumlah keseluruhan kes yang sembuh setakat ini kekal 269 orang.

Kementerian Kesihatan turut memaklumkan seramai 777 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, sementara seramai 22,245 orang menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

Mengenai vaksinasi, seramai 3,533 menerima suntikan vaksin Covid-19 pada 22 Julai  manakala seramai 119,200 (26.3 peratus) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Seramai 22,243 iaitu sekitar 4.9 peratus pula telah menerima dua dos suntikan vaksin manakala seramai 20,083 warga emas menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

Related posts

Leave a Comment