22.5% penduduk terima dua dos

PUTRAJAYA 24 Julai – Jumlah pemberian vaksin Covid-19 di negara ini meningkat kepada 16,487,158 dos selepas 462,242 lagi dos diberikan semalam yang membabitkan 301,536 bagi dos pertama dan 160,706 untuk dos kedua.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV)  ketika ini 34.4 peratus populasi negara sudah menerima dos pertama dengan 16.1 peratus sudah menerima dos kedua atau 22.5 peratus daripada populasi dewasa sudah menerima dos kedua dan hampir separuh iaitu 47.9 peratus sudah mendapatkan dos pertama.

Setakat ini, Lembah Klang terdiri daripada Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, merekodkan pemberian sebanyak 4,579,539 dos pertama, disusuli Sarawak dengan 1,627,318; Johor (816,402); Perak (638,598); Pulau Pinang (594,640) dan Sabah (590,949).

Bagi dos kedua, Lembah Klang mencatatkan sejumlah 1,541,128 dos setakat ini, disusuli Sarawak dengan 1,090,869 dos; Johor (394,510); Sabah (377,332) dan Perak (337,508).

Sementara itu, lima negeri dan wilayah sudah mencapai jumlah pemberian dos pertama melebihi 50 peratus bagi populasi dewasa iaitu, Labuan (88.7 peratus); Sarawak (79.7 peratus), Lembah Klang (74.3 peratus); Negeri Sembilan (60.6 peratus) dan Perlis (52.4 peratus) manakala terendah adalah Sabah, dengan 21.4 peratus populasi dewasanya sudah menerima dos pertama.

JKJAV juga memaklumkan tarikh pengoperasian beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu di empat negeri iaitu merangkumi, PPV Desaru Coast Conference Centre (DCCC) di Johor yang bermula esok dan PPV Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di Kedah serta PPV Dewan Majlis Perbandaran Jasin Sri Umbai di Melaka.

Sementara, PPV Le Gardens Pavilion, Gamuda Gardens, Rawang; PPV Dewan Banquet Persada PLUS, Subang; PPV Dewan Meranti 2, Seksyen U20, Bandar Baru Sungai Buloh, Shah Alam Utara; PPV Dewan Kenanga, Seksyen 28, Shah Alam Tengah; PPV Dewan Kemuning Utama, Seksyen 32, Shah Alam Selatan; PPV Dewan Persatuan Hokkien, Klang.

PPV Dewan Persatuan Soka Gakka; PPV Galaxy Mall, Ampang;PPV Bangi Convention Centre (BCC), Seksyen 14, Bandar Baru Bangi; PPV Dewan Canselor MSU, Seksyen 13, Shah Alam; dan UNIKL- British Malaysia Institute (BMI) Sungai Pusu, semuanya di Selangor akan mula beroperasi pada 26 Julai ini.

Related posts

Leave a Comment