Felda: PM kemuka dokumen dituntut Muhyiddin

PUTRAJAYA 20 Julai – Anwar Ibrahim hari ini mengemukakan dokumen ditandatanganinya bagi meluluskan pelupusan hutang Felda berjumlah RM8.3 bilion seperti dituntut Muhyiddin Yassin.

Berikutan itu, Perdana Menteri mendesak Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri untuk memohon maaf atas fitnah dilemparkan.

“Saya kemukakan sebahagian dokumen perjanjian ‘Assignment for Financial Service Reserve Account’ (FSRA) terkait Jaminan Kerajaan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang saya tandatangani.

“Justeru itu, saya mendesak Tan Sri Muhyiddin untuk memohon maaf atas fitnah yang dilemparkan kepada saya,” katanya dalam satu kenyataan yang turut dimuatnaik melalui Facebooknya hari ini.

Semalam, Anwar berkata, beliau tidak lupa dan masih ingat dokumen berjumlah RM997 juta yang ditandatanganinya pada 27 Jun lalu.

Beliau membuat kenyataan itu selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Anwar berhubung kenyataan mengenai pelupusan hutang peneroka FELDA, selain menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Perdana Menteri.

LOD disediakan firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership bertarikh 18 Julai 2023 (Selasa) itu dihantar ke dua alamat Anwar iaitu di kediamannya di Kajang, Selangor dan Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Perdana Menteri juga dituntut mengemukakan surat atau dokumen yang beliau tandatangan sebagai Menteri Kewangan pada akhir Jun 2023 bagi meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda bernilai RM8.3 bilion dalam tempoh 24 jam selain menarik balik kesemua kenyataan fitnah dan memadamkan penyiaran dari akaun Facebook serta laman web, platform ia disiarkan.

Anwar juga dituntut membuat permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka secara bertulis, menyiarkan yang sama di akaun Facebook dan semua platform kenyataan berkenaan disiarkan.

Media sebelum ini melaporkan Muhyiddin mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Anwar berhubung kenyataan mengenai pelupusan hutang peneroka FELDA, selain menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Perdana Menteri.

Related posts

Leave a Comment