7 negeri, negara luar minat beli Sinovac

KUALA LUMPUR: Tujuh negeri dan beberapa negara luar menunjukkan minat untuk membeli vaksin Sinovac daripada Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) setakat ini, kata Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Zulkarnain Md Eusope.

Beliau berkata Selangor membuat tempahan tertinggi berjumlah 2.5 juta dos, manakala enam negeri lagi yang turut menunjukkan minat adalah Pahang, Perak, Sarawak, Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.

Katanya, jumlah tempahan diterima daripada tujuh negeri berkenaan sekitar lima hingga enam juta dos, daripada keseluruhan 14 juta dos vaksin Sinovac yang ditawarkan kepada kerajaan negeri serta syarikat swasta yang berminat mulai bulan ini hingga September depan.

Penghantaran awal akan dibuat di Selangor kerana kes tinggi di negeri itu, sementara ke negeri bermula pada 1 Ogos.

Zulkarnain berkata, 14 juta dos itu adalah lebihan bekalan vaksin dihasilkan Pharmaniaga antara Jun hingga September depan, selepas syarikat farmaseutikal itu meningkatkan penghasilan kepada empat juta dos vaksin sebulan, berbanding dua juta dos sebelum ini.

Katanya, jumlah itu lebihan daripada tempahan kerajaan berjumlah 12.4 juta dos yang berjaya diserahkan dalam tempoh dua bulan setengah, lebih awal dari tempoh tujuh bulan yang dijadualkan.

“Pharmaniaga akan terus menghasilkan vaksin Sinovac sebagai persediaan jika bekalan daripada pengeluar lain kepada kerajaan tidak sampai mengikut jadual, selain keperluan untuk suntikan dos ‘booster’,” katanya.

Zulkarnain berkata, Pharmaniaga sedang meletakkan syarikat itu sebagai antara pembekal vaksin Sinovac dunia selepas mendapat permintaan dari negara luar termasuk Indonesia, Thailand, Filipina dan Kemboja.

Katanya, permintaan negara luar itu berikutan bekalan vaksin dunia yang terhad, selain Malaysia antara enam negara selain Indonesia, Brazil, Turki dan Mesir yang memiliki fasiliti ‘fill and finish’ untuk vaksin Sinovac.

Related posts

Leave a Comment