Anak peneroka calon BN Chini

PEKAN : Anak peneroka generasi kedua Felda yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan Mohd Sharim Md Zain dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Pengerusi BN Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail membuat pengumuman calon BN itu di Pejabat UMNO Bahagian Pekan, hari ini 18 Jun.

Katanya pemilihan Mohd Sharim, 41,  adalah tepat berikutan beliau merupakan anak setempat dan amat mengenali kepemimpinan Allahyarham Abu Bakar Harun serta rapat dengan penyandang DUN Chini itu yang meninggal dunia, 6 Mei lepas di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana serangan jantung.

Wan Rosdy berkata BN Pahang membuat banyak tapisan bagi mencari calon yang menepati kriteria ditetapkan oleh pucuk pimpinan.

Walaupun PRK DUN Chini diadakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata jentera BN sentiasa bersiap sedia untuk berdepan dengan mana-mana calon yang bertanding.

Sementara itu Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pekan, Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Bebas.

Bercakap pada sidang media pada Khamis, Tengku Zainul, 64, berkata ia merupakan keputusannya sendiri selepas Bersatu mengambil pendirian untuk tidak meletakkan calon pada PRK tersebut.

Anak jati Pekan itu yang juga seorang ahli perniagaan, berkata keputusan itu bukan atas desakan mahupun dorongan mana-mana pihak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Chini pada 4 Julai dengan hari penamaan calon pada 20 Jun ini, manakala hari pengundian awal pada 30 Jun.

DUN Chini, yang merupakan satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, akan menyaksikan PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, manakala calon Pas Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain daripada PKR (1,065).

Daftar pemilih bagi PRK DUN Chini mengandungi 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal manakala tiada pengundi tidak hadir luar negara.

Pengundi berusia 40 tahun dan ke bawah merupakan majoriti di DUN itu iaitu mewakili 56 peratus.

Related posts

Leave a Comment