Sabah terawal akan terima CanSino

KOTA KINABALU 23 Julai – Sabah antara negeri terawal yang akan menerima vaksin dos tunggal CanSino apabila Malaysia menerima tiga juta bekalan pada bulan depan, kata Menteri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

“Kami akan membuat penghantaran pertama untuk Sabah. Kami akan memberitahu dan memberi pilihan kepada Sabah mengenai Johnson & Johnson (vaksin satu dos),” jelasnya dalam pertemuan secara maya bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, pagi tadi.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) memberi jaminan berkenaan sebagai maklum balas kepada permintaan Hajiji agar lebih banyak bekalan vaksin dihantar ke Sabah bagi mencapai sasaran 60 peratus vaksinasi di negeri itu menjelang Oktober sekali gus mencapai imuniti kelompok pada akhir tahun ini.

“Ia juga penting bagi kita agar dapat menjangkau masyarakat di kawasan pedalaman dan pulau-pulau terpencil yang mana mobiliti mereka terkesan oleh keadaan muka bumi yang agak sukar dan jauh,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Rose Nani Mudin, menjelaskan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi pertama Sabah akan bermula minggu depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

“PPV Integrasi akan memberi vaksin secara percuma dan membenarkan hospital swasta membantu untuk mempercepatkan proses vaksinasi sekali gus mengurangkan beban yang dihadapi hospital awam ketika ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment