59.3 peratus kes dalam kategori satu

PUTRAJAYA 20 Julai – Kes jangkitan Covid-19 kembali mencecah 12,000 kes selepas dua hari berturut-turut mencatatkan lebih 10,000 kes iaitu 10,710 pada 18 Julai dan 10,972 pada 19 Julai.

Hari ini, sebanyak 12,366 kes baharu Covid-19 dilaporkan menjadikan kumulatif kes di negara ini meningkat kepada 939,899 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 7,327 kes atau 59.3 peratus berada dalam kategori satu atau tidak bergejala manakala 4,861 kes bersamaan 39.2 peratus dalam kategori dua atau pun bergejala ringan.

“Secara keseluruhannya, hanya 1.5 peratus kes yang dilaporkan hari ini berada dalam kategori tiga hingga lima iaitu 93 kes (0.8 peratus) dalam kategori tiga iaitu mempunyai radang paru-paru.

“Sebanyak 33 kes pula atau 0.3 peratus dalam kategori empat dengan radang paru-paru serta memerlukan bantuan oksigern manakala 52 kes (0.4 peratus) dalam kategori lima iaitu kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehingga kini seramai 133,703 kes masih aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19.

“Daripada jumlah kes itu juga, sebanyak 924 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 448 kes masih memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 93 kes kematian dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 7,241 kes.

Beliau berkata, kes kematian itu membabitkan 91 rakyat tempatan manakala dua lagi adalah warga asing.

Selangor masih menjadi negeri tertinggi melaporkan pertambahan kes kematian, iaitu 31 kes, Johor mencatatkan 16 kematian; Melaka (9); Kedah (8); Pahang (7); lima kes masing-masing di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Perak manakala dua kes masing-masing di Kuala Lumpur, Sabah serta Sarawak serta satu di Terengganu.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan sehingga tengah hari ini terdapat 7,567 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya ialah 798,955 kes.

Mengenai 18 kluster baharu, 13 daripadanya dikesan berpunca di tempat kerja, dua masing-masing dalam kalangan komuniti dan kumpulan berisiko tinggi manakala satu dalam pusat tahanan.

Kluster tempat kerja dikenali sebagai Kluster Industri Jalan Haji Sirat; Kluster Industri Persiaran Subang; Kluster Alam Jaya Lima; Kluster Industri Kenanga Satu; Kluster Simpang Jeram dan Kluster Jalan Sri Pelangi.

Turut dikesan ialah Kluster Jalan Istimewa Dua; Kluster Tapak Bina Jalan Kia Peng; Kluster Jalan Berhala Merah; Kluster Jalan Stadium; Kluster Industri Teknologi Cheng 30; Kluster Jalan Waterfront serta Kluster Pasar Besar Dungun.

Bagi kluster komuniti ia dikenali sebagai Kluster Kampung Pukak dan Kluster Sungai Seputeh manakala kluster kumpulan berisiko dinamakan sebagai Kluster Jalan Bukit Chagar serta Kluster Paya Luas. Kluster terakhir dikenali dalam pusat tahanan iaitu Kluster DTI Bidor.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata sehingga jam 12 tengah hari ini terdapat 7,567 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya di negara ini ialah 798,955 kes.

Related posts

Leave a Comment