MB sedia tanding kerusi Parlimen

SEREMBAN 19 Okt. – Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun sedia bertanding di peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya diberikan mandat oleh kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH).

Katanya, terserah kepada pimpinan parti sama ada beliau perlu bertanding atau sebaliknya pada PRU itu.

Pengerusi PH Negeri itu juga mengesahkan PKR akan bertanding di Parlimen Rembau, Kuala Pilah dan Port Dickson di mana senarai calon bagi Parlimen terbabit akan diumum dalam masa terdekat.

“Banyak orang nak saya bertanding di Kuala Pilah, Rembau atau Port Dickson … saya serahkan kepada pimpinan parti, kalau perlu saya bertanding saya akan bertanding atau sebaliknya.

Cabang (Port Dickson) nak hantar nama saya, saya kata tidak perlu, saya tunggu keputusan sahaja,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco hari ini

Naib Presiden PKR itu berkata perbincangan bersama kepemimpinan PH negeri telah menetapkan pembahagian kerusi Parlimen iaitu tiga untuk PKR, tiga untuk Amanah dan dua untuk DAP.

Semalam media melaporkan Amanah menamakan tiga calon untuk bertanding di tiga kerusi Parlimen di negeri itu termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan Zulkefly Omar bagi Parlimen Jelebu.

Calon lain Ketua Wanita Amanah Negeri Sembilan Norwani Ahmat di Parlimen Jempol dan Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir (Pulau Pinang) Muhammad Faiz Fadzil bagi kerusi Tampin.

Related posts

Leave a Comment