Warga emas sila duduk rumah

SINGAPURA 19 Julai – Kementerian Kesihatan (MoH) menasihatkan orang ramai, terutama warga emas, yang belum mendapatkan vaksin Covid-19 supaya  “duduk di rumah seboleh mungkin” dalam beberapa minggu akan datang.

Ini berikutan kebimbangan mengenai kemungkinan penularan dalam masyarakat, juga setelah empat warga emas yang tidak divaksinasi dikenal pasti sebagai antara kes baharu Covid-19 yang dilaporkan pada Ahad.

“Kami menggesa orang ramai agar menghubungi saudara-mara atau jiran tetangga yang lanjut usia dan belum mendapatkan vaksin supaya memberi bantuan yang di perlukan, seperti untuk membeli barang keperluan harian,” kata kenyataan itu.

MoH menegaskan bahawa warga emas, yang sebahagian daripada mereka masih belum divaksinasi, mungkin dijangkiti di pasar basah, di mana kelompok Covid-19 telah dikesan baru-baru ini.

“Keadaan di pasar dengan orang ramai keluar masuk secara kerap merumitkan usaha pengesanan kontak dan pengasingan. Kami lebih prihatin kerana pasar basah mempunyai pelbagai pembeli, termasuk warga emas yang lebih mudah. Mereka boleh dijangkiti dan menghidap sakit yang berat,” kata MoH..

Kementerian itu turut menyuarakan kebimbangan kemungkinan ada “rantaian jangkitan tersembunyi” yang boleh terus menyebarkan Covid-19 dalam masyarakat.

MoH juga menambah bahawa mereka yang tinggal serumah dengan warga emas yang belum divaksinasi juga perlu lebih berhati-hati dengan mengambil langkah berjaga-jaga, walaupun mereka sendiri sudah menerima vaksinasi lengkap.

“Ingatlah bahawa orang yang sudah divaksinasi juga masih boleh dijangkiti, walaupun lazimnya dengan gejala yang sangat ringan. Oleh itu, jika anda tidak berhati-hati, anda mungkin secara tidak sengaja membawa virus itu ke rumah dan menjangkiti warga emas yang tinggal bersama anda.”

Warga emas yang belum menerima vaksinasi juga dinasihatkan supaya melakukannya secepat mungkin.

Related posts

Leave a Comment