3.8 juta dos pertama di Lembah Klang

PUTRAJAYA 19 Julai – Sejumlah 14,347,285 dos vaksin sudah diberikan setakat pukul  11.59 malam tadi melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dalam laporan hariannya, memaklumkan sebanyak 344,961 dos diberikan semalam, iaitu 244,761 dos pertama, manakala 100,200 dos kedua.

Setakat ini, di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 3,866,419 juta dos pertama sudah diberikan diikuti Sarawak (1,563,346), Johor (674,506), Perak (571,833) dan Pulau Pinang (505,640).

Bagi dos kedua pula, negeri di Lembah Klang mencatatkan sebanyak 1,226,698, disusuli Sarawak (894,373), Johor (376,373) dan Sabah (362,659).

Labuan membabitkan peratusan pemberian vaksin sebanyak 86.8 peratus daripada populasi dewasa sudah menerima dos pertama vaksin dengan 62 peratus menerima dua dos setakat malam tadi.

Ia diikuti Sarawak dengan 76.5 peratus populasi dewasa menerima dos pertama dengan 43.8 peratus menerima dos kedua, manakala di Lembah Klang, sebanyak 62.7 peratus populasi penduduk dewasa menerima dos pertama dengan 19.9 peratus menerima dos kedua.

Negeri Sembilan menunjukkan sebanyak 53.4 peratus populasi dewasa menerima dos pertama dengan 20 peratus menerima dos kedua.

Related posts

Leave a Comment