PKPD 34 mukim di Selangor tamat

KUALA LUMPUR 16 Julai –  Kerajaan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 34 mukim di Selangor bermula tengah malam ini, kata

Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) meneliti pembentangan situasi semasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

PKPD di 34 mukim di Selangor berlangsung selama dua minggu bermula 3 Julai lalu dan dijadualkan berakhir hari ini.

Ia membabitkan mukim merangkumi daerah Petaling (Petaling, Damansara, Sungai Buloh, Bukit Raja), Hulu Langat (Hulu Langat, Ampang, Cheras, Kajang, Semenyih, Beranang) dan Sepang (Dengkil, Labu, Sepang)

Turut terbabit adalah mukim di daerah Gombak (Batu, Rawang, Setapak, Hulu Kelang, Kuang), Kuala Langat (Tanjung 12 (1), Tanjung 12 (2), Teluk Panglima Garang, Morib, Bandar, Jugra, Batu).

Selain itu, mukim di daerah Klang yang terbabit ialah Kapar dan Klang serta Kuala Selangor (Ijok, Bestari Jaya, Jeram), Hulu Selangor (Serendah, Rasa, Ulu Yam, Batang Kali).

Selain Selangor, Ismail Sabri berkata PKPD di beberapa lokaliti di Kedah, Sabah dan Pulau Pinang juga akan ditamatkan esok, manakala satu lokaliti di Negeri Sembilan pada lusa.

“Di Kedah, PKPD yang bermula 4 Julai lalu di Kilang Jimat Jaya Sdn Bhd, Kawasan Industri Ringan Bukit Makmur dan Asrama Pekerja, Kuala Muda Kedah akan ditamatkan pada 17 Julai 2021.

“Di Sabah, PKPD di Kampung Emas, Kota Belud; Kampung Iban Kuala Nansang, Tawau dan Kampung Babagon, Penampang akan tamat pada 17 Julai 2021,” katanya.

Di Pulau Pinang membabitkan PKPD di Taman Nagasari, Mukim 6, Seberang Perai Tengah juga akan tamat esok.

“Sementara di Negeri Sembilan, PKPD di Taman Desaria, Seremban yang bermula 5 Julai lalu akan tamat pada 18 Julai 2021,” katanya.

Related posts

Leave a Comment