18 kematian, 3,804 kes baharu

KUALA LUMPUR 3 Feb. – Sebanyak 4,284 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini yang menjadikan jumlah keseluruhan kes kini sebanyak 226,912 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, sebanyak enam kes import dilaporkan yang menerima jangkitan daripada luar negara manakala selebihnya merupakan jangkitan kes tempatan.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini sebanyak 48,309 kes.

Sebanyak 122 kes (2.8 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Mempaga (54 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (41 kes), Kluster Tembok Bukit Besi (14 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (5 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (4 kes), Kluster Tembok Taiping (2 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (1 kes), dan Kluster DTI Sepang 2 (1 kes) .

Dr Noor Hisham turut memaklumkan pertambahan sebanyak 18 kes kematian baharu turut direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 809 kes.

Sebanyak 17 kes kematian pada hari ini melibatkan warganegara dan satu (1) kes bukan warganegara.

Kes-kes kematian melibatkan lima kes di Selangor, masing-masing tiga kes di Sarawak dan Negeri Sembilan, dua kes di Perak, dan masing-masing satu kes di  Melaka, Kelantan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, dan Sabah.

Setakat ini, sebanyak 307 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 141 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, jumlah kes sembuh terus catat peningkatan sebanyak 3,804 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini sebanyak 177,794 kes.

Related posts

Leave a Comment