23 juta terlepas vaksin asas

GENEVA: Seramai 23 juta kanak-kanak terlepas janji temu vaksin asas pada 2020 – pertambahan sebanyak 3.7 juta kes berbanding 2019 berikutan ‘gangguan perkhidmatan kesihatan’ akibat pandemik Covid-19 sejak tahun lepas.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebeyesus berkata, kajian WHO dan UNICEF menunjukkan kanak-kanak itu terlepas vaksinasi rutin bagi penyakit campak, difteria, dan tetanus.

WHO dan UNICEF dalam kenyataan bersama berkata, kemungkinan 17 juta kanak-kanak tidak memperoleh walau satu suntikan vaksin tahun lepas, dan memberi amaran keadaan ini bakal mengakibatkan masalah kesihatan.

“Kemunculan pelbagai wabak penyakit bakal mencetuskan bencana dalam masyarakat dan sistem kesihatan kini sibuk memerangi Covid-19, menjadikan pelaburan untuk program vaksinasi kanak-kanak semakin mendesak selain memastikan setiap daripada mereka menerima vaksin,” kata Tedros.

Perkhidmatan vaksinasi rutin kanak-kanak di Asia Tenggara dan Mediterranean Timur antara yang terjejas teruk.

Lebih tiga juta kanak-kanak gagal mendapat suntikan pertama campak manakala 3.5 juta lagi tidak menerima dos pertama vaksin DTP-1, iaitu vaksin tiga serangkai untuk difteria, tetanus, dan pertussis, berbanding 2019.

Inisiatif Agenda Imunisasi 2030, mengabungkan WHO, UNICEF dan Gavi, bertujuan memastikan 90 peratus liputan vaksin utama di seluruh dunia.

Related posts

Leave a Comment