Perlis benarkan aktiviti masjid

KANGAR 13 Julai – Mulai hari ini, semua aktiviti kelas pengajian, kuliah dan sebagainya dibenarkan di masjid seluruh Perlis, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Aktiviti pengimarahan masjid ini juga selaras dengan limpah perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail setelah meneliti perkembangan semasa penularan pandemik Covid-19 di negeri ini ketika Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan berdasarkan segala ketetapan sedia ada.

“Aktiviti ini mesti dilakukan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti bacaan al-Quran dan terjemahan selepas solat Subuh dilaksanakan dalam tempoh 15 minit sahaja.

Selain itu, penjarakan jarak ketika solat juga dikurangkan daripada dua meter kepada 1.5 meter dan kuliah Maghrib hendaklah dihentikan sebaik sahaja masuk waktu Isyak.

“Tiada penceramah yang didapati terbabit dalam aktiviti rentas sempadan dibenarkan untuk menyampaikan ceramah di negeri ini,” titahnya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Baginda turut menegaskan bahawa jamuan di masjid boleh dilaksanakan dengan cara mengedarkan makanan yang siap dibungkus tanpa menggunakan polisterin serta meminimumkan penggunaan plastik untuk dibawa pulang sahaja.

Related posts

Leave a Comment