Sinovac di Saudi semoga ada pencerahan

NAMPAKNYA isu pengiktirafan Kerajaan Arab Saudi terhadap vaksin Sinovac masih samar-samar. Bagai meneka dalam kesamaran, seolah-olah belum ada kepastian apabila akhbar Saudi Gazette melaporkan individu yang sudah menerima dua dos vaksin Sinovac dan Sinopharm perlu mengambil dos tambahan sebagai syarat untuk masuk ke negara itu.

Sebelum itu, ramai yang lega dan bersyukur apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menyatakan Arab Saudi telah memasukkan Sinovac dalam senarai vaksin yang diterima bagi kemasukan ke sana.

Dr. Zulkifli berkata tidak timbul lagi kerisauan kepada ahli kekuarga yang khuatir tidak dapat menunaikan haji dan umrah kerana diberi Sinovac.

“Boleh sampaikan kepada ahli keluarga yang telah menerima vaksin Sinovac dan berniat untuk tunaikan haji dan umrah akan datang,” katanya dalam hantaran melalui Facebooknya malam tadi.

Bagaimanapun membaca SG, lain pula ceritanya. Kenyataan yang dikeluarkan adalah jemaah perlu mengambil dos tambahan bagi yang menerima suntikan Sinovac dan Sinopharm. Maknanya diiktiraf tetapi perlu mengambil dos tambahan, tidak seperti vaksin lain.

Menurut laporan, syarat terbaharu itu terkandung dalam peraturan terkini yang dikeluarkan pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi.

Berdasar peraturan kesihatan yang sudah dikemaskini, individu yang sudah menerima dua dos vaksin Sinovac dan Sinopharm perlu mengambil dos tambahan yang diiktiraf sama ada Pfizer, AstraZeneca, Johnson & Johnson dan Moderna.

Satu lagi syarat yang perlu dipatuhi adalah membuat ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dalam tempoh 72 jam selepas tiba ke negara itu.

Pendekatan baharu itu diambil susulan kebimbangan bahawa vaksin Covid-19 yang digunakan sebilangan besar negara membangun tidak mampu menghalang penularan varian Delta.

Ia mendorong beberapa negara untuk menawarkan dos ketiga untuk meningkatkan imuniti terhadap strain virus berkenaan.

Menurut laporan, pihak berkuasa kesihatan negara seperti Emiriyah Arab Bersatu dan Bahrain memutuskan untuk memberi dos tambahan kepada individu yang sudah menerima vaksin dari China, iaitu Sinovac Biotech dan Sinopharm.

Tidak pasti laporan mana yang ‘datang dahulu’ dan apakah maksud sebenarnya. Adakah Sinovac diterima tetapi bersyarat? Semoga ada pencerahan dan keputusan yang lebih meyakinkan dengan menteri agama kita berhubung terus dengan rakannya di Arab Saudi.

Apa pun, jika itu pilihan yang ada, jemaah perlu bersedia mengambil dos tambahan. Yang penting Sinovac dibenarkan ‘masuk’. Bagi jemaah kita, mendapat vaksin sebelum ke tanah suci sudah jadi kebiasaan. Cuma lebih baik apa pun vaksin, jika diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), layanan diberi sama adil.

Related posts

Leave a Comment