SEBUAH pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Save the Children mendedahkan, lebih 20,000 kanak-kanak Palestin hilang di Gaza akibat serangan Israel ke atas wilayah terkepung itu sejak 7 Oktober lalu.
Dalam satu kenyataan, Save the Children memaklumkan kanak-kanak itu sama ada terperangkap di bawah runtuhan, ditahan, dikebumikan dalam kubur tidak bertanda atau terpisah daripada keluarga mereka.
Menurut NGO itu, adalah “hampir mustahil” untuk mengumpul dan mengesahkan maklumat di bawah keadaan semasa di Gaza, di mana Israel meneruskan serangan darat dan udaranya tanpa henti.
Sekurang-kurangnya 17,000 kanak-kanak dipercayai tidak ditemani dan terpisah serta kira-kira 4,000 lagi dipercayai hilang di bawah runtuhan dengan jumlah yang tidak diketahui juga berada di kubur besar.
Yang lain diculik secara paksa, termasuk bilangan yang tidak diketahui ditahan dan dipindahkan secara paksa keluar dari Gaza dengan nasib mereka tidak diketahui oleh keluarga di tengah-tengah laporan mengenai layanan buruk dan penyeksaan.
“Tiada kanak-kanak yang sepatutnya berseorangan, tidak dilindungi di zon perang.
“Tiada kanak-kanak yang sepatutnya ditahan atau dijadikan tebusan,” kata Pengarah Serantau Save the Children untuk Asia Barat Jeremy Stoner.
Israel membunuh lebih 37,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak sejak konflik tercetus 7 Oktober lalu.
(Foto hiasan – sumber UNRWA)
