RM400 juta tambah bekalan vaksin

PUTRAJAYA 28 Jun – Kerajaan akan menyediakan dana tambahan RM400 juta bagi menambah bekalan vaksin negara, dan mempercepat jadual pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, dengan pertambahan dana itu, jumlah bekalan vaksin yang ditempah Kerajaan cukup untuk menampung 130 peratus populasi rakyat, berbanding 120 peratus sebelum ini.

Penambahan bekalan vaksin ini antara lainnya adalah sebagai stok penimbal tambahan, serta bertujuan memulakan proses vaksinasi bagi 6.4 juta remaja berumur 12 hingga 18 tahun.

“Anak-anak yang bakal menduduki SPM tahun ini akan diutamakan,” katanya melalui perutusan khas sempena pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), hari ini.

Perdana Menteri berkata, sebanyak 341 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah pun beroperasi di seluruh negara, terdiri daripada 320 PPV Awam, 13 PPV Mega dan lapan PPV IPT.

Kerajaan turut menyediakan dana RM200 juta bagi pembukaan 29 PPV baharu, menaik taraf PPV sedia ada, melaksana PPV secara pandu lalu, PPV Bergerak dan program Outreach Home-to-Home.

Kerajaan juga bersetuju untuk menyelaras kadar pembayaran kepada 14,000 barisan hadapan kesihatan yang terlibat dalam PICK.

Beliau berkata, kadar pembayaran elaun khas itu akan dinaikkan daripada RM200 kepada RM600 selama enam bulan, bermula Julai 2021.

Selain itu, tambahnya lagi, beliau telahpun mengumumkan peningkatan bayaran sagu hati daripada RM50 kepada RM100 sehari bagi sukarelawan kesihatan, yang bertugas melebihi 12 jam sehari bermula Jun 2021.

Muhyiddin berkata, bayaran sagu hati tersebut akan diperluas kepada mereka yang bertugas di lapangan selain PPV seperti di pusat kuarantin.

Related posts

Leave a Comment