Penuntut palsu dokumen rentas negeri

BENTONG 21 April – Dua wanita, 22 tahun, penuntut sebuah kolej swasta ditahan kerana disyaki memalsukan borang rentas negeri dalam satu pemeriksaan Sekatan Jalan Raya (SJR) Tol Bentong di sini pada Isnin lalu.

Salah seorang daripadanya didapati positif dadah jenis ganja.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, dalam pemeriksaan yang dilakukan di SJR itu kedua-dua wanita tersebut dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan.

Ketika pemeriksaan dokumen perjalanan rentas negeri dilakukan, pihak polis mendapati borang tersebut agak meragukan dan disyaki dipalsukan.

“Hasil siasatan awal pihak polis percaya cop dan tandatangan ketua polis balai yang meluluskan permit tersebut disyaki palsu dan dipercayai dibuat secara ‘scan’ dan tulisan turut dipinda,” katanya.

Menurutnya kes itu disiasat mengikut Seksyan 468 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana menggunakan surat palsu yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pemeriksaan ke atas telefon bimbit milik salah seorang daripada mereka juga didapati ada salinan borang kosong rentas negeri yang siap ditandatangani dan dipercayai turut dipalsukan.

Related posts

Leave a Comment