Tutup masjid mukim, surau di Kelantan

KOTA BHARU 21 April – Mulai hari ini, semua masjid mukim, surau dan musolla di Kelantan ditutup untuk semua aktiviti termasuk solat Jumaat, solat fardu, solat sunat tarawih serta aktiviti lain.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata arahan berkaitan solat itu bagaimanapun tidak melibatkan 17 masjid negeri, bandar dan jajahan.

Pelaksanaan solat berkenaan dibenarkan dengan 50 peratus kehadiran jemaah daripada kapasiti masjid selepas penjarakan fizikal di dalam saf sebanyak dua meter manakala aktiviti lain tidak dibenarkan.

Dalam satu kenyataan, Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, penutupan itu sehingga satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Masjid yang dibenarkan adalah Masjid Muhammadi, Kota Bharu, Masjid Al Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, Masjid Al-Ismaili Bandar Baru Pasir Pekan, Masjid Sultan Muhammad II,Telipot, Masjid Sultan Mansor, Kampung Sireh dan Masjid D’Raja Long Yunus, Langgar.

Masjid Bandar As-Salam, Pengkalan Chepa, Masjid Ismaili Jajahan Tumpat, Masjid Mahmoodi (Jajahan Bachok), Masjid Ibrahimi (Jajahan Pasir Puteh), Masjid Sultan Yahya Petra (Jajahan Machang) dan Masjid Tengku Muhammad Faris Petra, (Jajahan Kuala Krai).

Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra (Jajahan Gua Musang), Masjid Sultan Muhammad I (Jajahan Jeli), Masjid Sultan Muhammad III (Jajahan Pasir Mas), Masjid Ismail Petra (Jajahan Tanah Merah) dan Masjid Bandar An-Nur Guchil, Kuala Krai.

MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan tersebut dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak yang gagal mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan. 

Related posts

Leave a Comment